ANDA SEDANG MEMASUKI ZON MEMBACA

Tuesday, 19 January 2021

TOPIK 14: PEMBELAJARAN ABAD KE-21



Rumusan 
Topik 14: Pembelajaran Abad Ke-21

Pendidikan Abad ke-21 ialah guru menggunakan kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan berpusatkan pelajar iaitu memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka sesuatu yang baharu serta menekan elemen penggunaan teknologi terkini dan aspek kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Kaedah ini bagi menggantikan kaedah konvensional iaitu kaedah pembelajaran berpusatkan guru atau “chalk and talk” semata-mata di dalam kelas. Kaedah pembelajaran berpusatkan murid memberi peluang kepada murid untuk menghasilkan, menilai dan mensintesiskan maklumat daripada sumber-sumber yang luas ditambah dengan pembinaan soft skills dan menghormati budaya lain. Guru pula bertindak sebagai pemudahcara untuk memastikan kelancaran aktiviti di dalam kelas dan rujukan kepada murid untuk menjelaskan sesuatu yang pelajar tidak tahu.

Prinsip pembelajaran abad ke-21 yang ditekankan kini adalah berteraskan kepada 4C iaitu Collaborative (Kolaboratif), Communication (Komunikasi), Critical Thinking (Pemikiran Kritis) dan Creativity (Kreativiti). Mengikut Program Transformasi Sekolah 2025, prinsip pembelajaran abad ke-21 yang perlu ditekankan selaras dengan Pedagogi Terkini Pembelajaran Mendalam Brauer College adalah berteraskan 6C iaitu prinsip 4C yang sedia ada ditambah dengan Character (Karakter) dan juga Citizenship (Kewarganegaraan). Prinsip Character adalah pelajar menggunakan ilmu atau kemahiran yang dipelajari untuk menyelesaikan masalahnya serta tabah dalam meneruskan kelangsungan hidupnya. Prinsip Citizenship pula adalah berfikir seperti warga global, mengingati isu-isu global berdasarkan pemahaman yang mendalam tentang nilai-nilai dan pandangan dunia yang pelbagai, dan dengan minat serta keupayaan yang tulen untuk menyelesaikan masalah dunia nyata yang rumit dan kompleks yang mampu memberi kesan kepada kemapanan manusia dan alam sekitar.

Bagi memantapkan konsep 6C dalam diri pelajar ketika berlangsung proses pembelajaran dan pemudahcaraan, Fullen (1993) telah mengemukakan tiga elemen utama dalam Pedagogi Terkini iaitu pembelajaran partnership (guru dan murid), tugasan pembelajaran mendalam dan peralatan digital dan sumber. Pembelajaran partnership antara guru dengan murid bermaksud guru mempelajari sesuatu daripada murid dan juga sebaliknya. Guru perlu bertindak sebagai pengaktif di dalam kelas dengan menggunakan kaedah reciprocal teaching; maklum balas murid; parking lot; sudut OPEM dan kriteria pembelajaran; metakognisi dan 1 Classroom Traffic Light. Melalui kaedah ini, guru dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya dan belajar sesuatu daripada murid dan perkara yang sama berlaku juga terhadap murid. Tugasan pembelajaran mendalam merupakan aktiviti yang dilakukan oleh pelajar dan guru bersama-sama bagi memenuhi kompetensi 6C. Bagi memenuhi keperluan dalam Revolusi Perindustrian 4.0, pelajar dan guru kini perlu tahu menggunakan sepenuhnya sumber-sumber yang ada di sekeliling dan menjadi seorang yang celik IT.

Terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah abad ke-21 antaranya adalah susun atur di dalam kelas, sosial dalam kelas dan emosi guru dan murid di dalam kelas. Yang pertama ialah guru perlu tahu susun atur di dalam kelas yang bersesuaian dengan jumlah murid dan saiz bilik darjah. Jenis corak duduk murid antaranya adalah bentuk kumpulan, gaya auditorium, seminar dan lain-lain serta peralatan yang lengkap memainkan peranan agar memastikan kelangsungan proses pembelajaran dan pemudahcaraan berkesan. Yang kedua adalah keadaan sosial di dalam kelas. Guru perlu menetapkan peraturan di dalam kelas untuk membentuk disiplin dan karakter pelajar yang berkualiti serta menggunakan komunikasi pelbagai hala ketika menyampaikan ilmu agar pelajar tidak berasa bosan. Dari segi emosi pula, gaya kepimpinan dan cara penyampaian ilmu oleh guru mempengaruhi suasana di dalam kelas. Sekiranya guru tidak pandai menarik perhatian murid, suasana di dalam kelas akan menjadi bosan dan timbul perasaan kurang berminat untuk belajar terhadap pelajar.

Akhir sekali, kaedah mengajar abad ke-21 memberi banyak faedah berbanding kaedah konvensional akan tetapi terdapat banyak cabaran dalam melaksanakannya. Antaranya adalah menghubungkan jurang ilmu antara guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran, budaya generasi abad ke-21 yang aktif menggunakan media sosial, hubungan yang renggang antara murid Islam dan bukan Islam, kesediaan guru-guru dalam membina daya pemikiran murid untuk menyelesaikan masalah secara berkesan dan inovatif serta penggunaan pelbagai teknologi seperti kemudahan Internet mengurangkan nilai kemanusiaan dan unsur kemanusiaan.

TOPIK 13: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

Rumusan
Topik 13: Pengurusan Alam Pembelajaran

        Alam pembelajaran didefinisikan sebagai sesuatu keadaan dan suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar pelajar dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku kearah yang lebih positif dan tidak tahu kepada tahu. Alam pembelajaran pula bermaksud keadaan atau suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar para pelajar dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku ke arah yang lebih positif dan daripada tidak tahu kepada tahu. Pengurusan alam pembelajaran ini penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan untuk mengajar, memastikan objektif tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran tersebut.

        Isu dan permasalahan ini seringkali ada di sesebuah sekolah seperti suasana pengajaran dan pembelajaran yang tidak selesa dan efisien. Hal ini demikian kerana, bilangan pelajar yang ramai dalam satu bilik darjah dengan ruang dan kawasan yang terhad. Selain itu, terdapat juga segelintir guru yang tidak menitikberatkan pengurusan alam pembelajaran ini. Sebagai contoh, guru kadang kala terlupa untuk mengambil kehadiran pelajar di dalam kelas, menghias kelas lambat dilaksanakan serta susunan meja kerusi di dalam bilik darjah tidak teratur.

        Suasana di dalam kelas yang ceria dan tenang mampu meningkatkan perhatian murid di dalam kelas. Selain itu, ia dapat memudahkan guru untuk mengendalikan kelas. Bilangan pelajar yang terlalu ramai memberikan impak negatif kepada pengurusan alam pembelajaran serta mengganggu pembelajaran. Antara kepentingan pengurusan alam pembelajaran, guru akan memastikan suasana pembelajaran dalam keadaan yang kondusif dan selesa agar setiap aktiviti yang dirancang dapat mencapai hasil dan objektif pembelajaran. Selain itu, guru dapat bersedia sebelum memasuki kelas untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Disamping itu, pelajar dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan tidak pulang dengan tangan kosong.


TOPIK 12: SEKOLAH DAN PERSEKITARAN


Rumusan
Topik 12: Sekolah dan Persekitaran

            Topik ini membincangkan tentang hubungan sekolah dan masyarakat, hubungan sekolah dan ibu bapa dan isu-isu pendidikan semasa. Sekolah merupakan tempat penyebaran maklumat dan ilmu pengetahuan. Manakala bagi persekitaran pula ialah kawasan di sekeliling sesuatu tempat membawa maksud masyarakat yang tinggal berhampiran sesebuah sekolah. Fungsi sekolah adalah untuk mencapai objektif dan matlamat sosial bagi melahirkan manusia yang cemerlang dari segi keilmuan dan dapat membentuk sahsiah diri yang baik.

               Seterusnya persekitaran pula terbahagi kepada dua iaitu persekitaran fizikal dan persekitaran psikososial. Dimana persekitaran fizikal merujuk kepada keadaan yang mempunyai susunan dan rekabentuk bilik darjah, sumber bahan pembelajaraan, pencahayaan, sudut pembelajaran, pengudaraan dan kebersihan. Persekitaran psikososial yang sihat adalah tentang keadaan tempat pembelajaran pelajar tersebut selesa dan aman serta bebas daripada gangguan  yang menjadi ancaman pelajar tersebut. Faktor bersih, cantik, selamat dan cukup ruang belajar amat penting kerana ia mempengaruhi psikologi dan emosi warga sekolah sama ada guru-guru, pelajar atau kakitangan sokongan. Oleh yang demikian, untuk memastikan tahap kebersihan, kecantikan dan keceriaan kawasan sekolah dapat dikekalkan pihak sekolah boleh mengadakan pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas dan juga taman-taman yang telah ditentukan persatuan-persatuan yang menjaganya. Seterusnya, kelas ataupun persatuan yang dapat mengekalkan kebersihan dan keceriaan tersebut diberi pengiktirafan semasa perhimpunan.

          Hubungan sekolah dengan masyarakat dapat dilihat melalu peranan sekolah itu sendiri. Sekolah merupakan satu sistem sosial yang tersendiri dan menjadi agen perubahan kepada masyarakat dan persekitaran. Sekolah memberi peluang kepada manusia khasnya generasi muda untuk menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sekolah mementingkan perkembangan dan perubahan tingkah laku pelajar mengikut aliran dan kehendak masyarakat. Sekolah sebagai sesebuah organisasi yang dinamik, terbuka dan kompleks serta mewujudkan hubungan  saling bergantung dengan pihak luar. Sekolah melibatkan proses sosialisasi si mana kanak-kanak belajar tentang perlakuan masyarakat nya dan menjadikan perlakuan ini sebahagian daripada tingkah laku mereka. Pendidikan diangganp sebagai satu proses membentuk manusia yang sanggup berfikir secara kreatif dan kritis. Persekolahan yang berorganisasi memainkan peranan dalam mengekalka corak kehidupan dan budaya ilmu yang dianggap sesuai dalam norma masyarakat.

Hubungan sekolah dan ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat ditunjukkan melalui peranan dan gerak kerja persatuan tersebut. Ia dapat mewujudkan muafakat antara ibu bapa dan guru dan dapat membantu dalam memajukan perkembangan murid. Selain itu PIBG juga mejaga kebajikan murid, menambah sumber kewangan sekoah dan untuk menjayakan aktiviti serta program pendidikan.

                Kita seringkali mendengar isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan. Bukan sahaja pada abad ke 21, malah ia sering terjadi dan yang paling parah adalah apabila isu tersebut disalahkan kepada pengajar atau pendidik. Pada kebiasaannya, isu ini merangkumi masalah atau isu yang berkaitan dengan guru, pelajar dan sistem pendidikan yang dijalankan di Malaysia.

Kesimpulannya, untuk menjadikan sekolah sebuah tempat yang aman, semua pihak haruslah bekerjasama tidak kira guru, ibu apa, pelajar ataupun masyarakat itu sendiri. Jika semua pihak melepaskan begitu saja ia akan merosakkan persekitaran sekolah. Hal ini memerlukan adanya hubungan yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa setrta masyarakat. Hal ini kerana, sekolah adalah tempat untuk anak-anak bangsa menimba atau memperolehi ilmu untuk digunakan pada masa hadapan.


TOPIK 11: PENGURUSAN KEPELBAGAIAN UPAYA


Rumusan
Topik : Pengurusan Murid Pelbagai Upaya
Topik Pengurusan Murid Pelbagai Upaya menerangkan tentang  jenis  masalah pembelajaran murid-murid iaitu pemulihan khas, pendidikan khas, pelbagai kecerdasan dan pengayaan. Dalam topik ini, mahasiswa/I dapat memahami, berbincang, menjelaskan dan membanding beza pengurusan murid pelbagai upaya.

Ringkasnya, setiap guru harus mengambilkira 4 aspek iaitu isi kandungan, proses, produk dan persekitaran pembelajaran untuk memaksimumkan pembelajaran dalam bilik darjah. Isi kandungan bersesuaian dengan keperluan murid. Proses pula adalah pendekatan yang digunakan untuk murid mencapai objektif pembelajaran. Seterusnya, produk merupakan hasil pembelajaran yang dikuasai oleh murid diaplikasikan secara demonstrasi dan persekitaran pembelajaran adalah situasi dalam bilik darjah.

Bagi kecerdasan pelbagai, menurut Howard Gardner (1983) manusia mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan yang merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat atau kemahiran yang wujud secara semulajadi iaitu  visual-linguistik, logik-matematik, visual ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Bagi individu yang mempunyai kecerdasan verbal linguistik, pembelajaran berkesan melalui lisan. Kecerdasan logik-matematik menjadikan murid gemar belajar melalui kaedah inkuiri penemuan dan koperatif. Murid dengan kecerdasan visual ruang lebih berkesan belajar melalui kaedah tunjuk cara dan video manakala keberkesanan pengajaran murid dengan kecerdasan kinestetik ialah aktiviti simulasi. Kecerdasan muzik menjadikan murid gemar dengan aktiviti melibatkan tarian dengan berlatarkan muzik. Kecerdasan intrapersonal menyebabkan murid bijak dalam menghasilkan jurnal yang baik manakala kecerdasan interpersonal, pembelajaran koperatif lebih bersesuaian.

Murid Pemulihan Khas ialah kanak-kanak yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif. Program pendidikan inklusif adalah untuk murid-murid tang bermasalah pembelajaran ringan. Mereka akan mengikuti proses Pengajaran dan Pemudahcaraan dalam bilik darjah secara separa masa atau sepenuh masa. Terdapat tiga alternatif yang digalakkan untuk mewujudkan kelas pemulihan iaitu sekolah-sekolah yang mempunyai dua kelas atau lebih bagi sesuatu darjah, murid-murid untuk kelas pemulihan boleh diambil dari kelas-kelas tersebut sekiranya bilangan murid pemulihan dalam sesuatu kelas itu hanya tiga atau empat orang sahaja. Walau bagaimanapun jumlah murid dalam satu sesi pemulihan hendaklah tidak melebihi 15 orang. Yang kedua ialah sekolah-sekolah yang mempunyai satu kelas bagi satu darjah, murid-murid untuk kelas pemulihan bolehlah diambil dari darjah-darjah lain tetapi jumlahnya hendaklah tidak melebihi 15 orang. Yang ketiga ialah sekiranya murid-murid yang diambil untuk mengikuti kelas pemulihan datangnya dari satu kelas sahaja, maka bilangannya hendaklah tidak melebihi 6 orang. Selain itu, kesesuaian dari segi keselesaan ruang dengan bilangan murid, pencahayaan, penyusunan perabot dengan ukuran dan bilangan murid-murid yang terlibat. Peringkat Proses Pengajaran Pemulihan terdiri daripada empat peringkat iaitu mengenalpasti pelajar lemah dan masalah pembelajaran mereka, menentukan punca dan sebab kelemahan mereka, memilih ganti tindakan (aktiviti alternatif) dan menilai kejayaan program pemulihan.

Pengurusan Pengayaan merupakan tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang mengandungi unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Prinsip pendidikan pengayaan dalam bilik darjah memberi penekanan bahawa guru harus mengambilkira  beberapa perkara dalam usaha menyediakan aktiviti pengayaan seperti  menekankan kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan eksperimental, membuat kerja sendiri dan hasilan kendiri.

Kaedah mengenalpasti kanak-kanak luar biasa ialah penapisan (screening) iaitu memerhati di bilik darjah dan standardized group assessment tool. Langkah kedua ialah pencalonan (Referral) melaksanakan Penilaian Pendidikan Khas dengan kebenaran ibubapa. Langkah 3 ialah penilaian melalui ujian saringan bertujuan mengklasifikasi, penempatan, dan penentuan program khas. Langkah 4 ialah kelayakan dilakukan selepas proses penilaian (analisis dan penafsiran skor ujian) disempurnakan, pasukan ini harus mengadakan perjumpaan untuk menentukan kelayakan pelajar untuk menerima Pendidikan Khas.  

Jenis-jenis penempatan murid-murid berkeperluan khas ialah bilik resos, kelas biasa, sekolah khas, pengajaran berdasarkan rumah/hospital dan pemulihan dalam komuniti. Amalan yang diaplikasikan dalam kelas biasa ialah Model Konsultansi iaitu guru khas memberi nasihat kepada guru biasa tentang pengurusan dan pengajaran murid khas. Bagi penempatan bilik resos turut dikenali dikenali sebagi program ‘pull out’, pelaksanaannya ialah murid di kelas biasa di tarik keluar dari kelas untuk menerima pengajaran akademik (secara individu atau kumpulan). Bagi kelas khas atau dikenali sebagai self-contained class dilaksanakan dengan menempatkan murid  dalam kelas bersama-sama murid lain yang juga dari kategori yang sama (program integrasi). Pengajaran berdasarkan rumah/hospital dilaksanakan dengan guru pendidikan khas pergi ke rumah murid atau ke hospital untuk mengajar murid. Biasanya perkhidmatan sedemikian adalah buat sementara sehingga murid sedia pulang ke sekolah. Bagi penempatan Pemulihan dalam komuniti, pendidikan disediakan di tempat tinggal murid.

Empat komponen penting dalam pengajaran kanak-kanak khas ialah persekitaran, kurikulum, kaedah pengajaran dan penilaian. Persekitaran melibatkan kemudahan dan kos - contoh: bilik resos, guru khas/resos, peralatan khas dan peralatan pembelajaran. Kaedah pengajaran seperti individu, analisis tugasan, pengurusan kontingen, modifikasi tingkah laku, pembelajaran kooperatif dan aplikasi komputer. Penilaian merupakan satu proses yang sistematik dalam mengumpul maklumat yang relevan dengan pendidikan terdiri daripada penilaian sumatif dan penilaian formatif.

Kesimpulannya, topik pengurusan murid pelbagai upaya memberi perincian terhadap peranan guru dalam mengendalikan murid-murid yang terdiri daripada kecerdasan pelbagai, pemulihan khas dan pendidikan khas. Pengurusan yang sistematik dan pengajaran yang bersesuaian dengan tahap kognitif murid-murid tersebut dapat menghasilkan pembelajaran yang berkualiti.

TOPIK 10: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA


Rumusan 
Topik 10: Pengurusan Pelbagai Budaya

Budaya bermaksud perbuatan atau aktiviti yang dilakukan sama ada baik atau buruk serta benda yang dimiliki dalam satu kelompok masyarakat. Pada pandangan Griffiths et al. (2017), budaya merupakan kata-kata seperti bercakap mengenai hal peribadi serta barang-barang yang berada di sekeliling kita seperti perhentian bas, telefon bimbit dan sebagainya. Menurut Griffiths et al. (2017), terdapat dua jenis budaya yang boleh diklasifikasikan iaitu budaya bersifat material iaitu merujuk kepada objek atau barang kepunyaan bagi satu kumpulan masyarakat dan budaya bersifat abstrak iaitu idea, sikap dan kepercayaan bagi satu kelompok masyarakat. Aspek material dan abstrak dalam budaya saling berkait antara satu sama lain dan selalunya objek fizikal memberi makna kepada idea bagi suatu budaya.

Budaya sekolah pula bermaksud sistem sosial yang mempunyai budaya yang tersendiri dari segi norma institusi, struktur, sosial, kepercayaan, nilai, simbol, tradisi, matlamat dan tujuan yang tersendiri untuk membentuk organisasi tersendiri. Budaya sekolah di Malaysia boleh diklasifikasikan tiga jenis iaitu budaya instrumental, budaya ekspresif dan budaya moral. Budaya instrumental adalah pengumpulan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk lulus di dalam peperiksaan di samping menghasilkan pelajar dan warganegara yang baik dan sempurna. Budaya instrumental juga mengutamakan matlamat masa hadapan para pelajar. Budaya ekspresif pula adalah memuaskan kehendak kreatif dan seni para pelajar untuk menghilangkan ketegangan, serta meluahkan tenaga tanpa sebarang kawalan daripada kakitangan sekolah. Contoh aktiviti ialah seperti menari, melukis, atau bermain muzik mengikut kecenderungan dan minat masing-masing. Budaya moral adalah melahirkan pelajar bermoral yang berkemampuan membuat pertimbangan tentang beberapa tindakan atau tingkah laku yang betul atau salah. Sekolah menghukum setiap kesalahan dan memberikan ganjaran seperti hadiah kepada yang betul atau baik.

Dari segi budaya antara kaum dan agama, pelajar-pelajar yang terdiri daripada kaum Melayu dan India lebih menggemari duduk dan berkomunikasi sesama kaum mereka sendiri dengan menggunakan loghat atau bahasa ibunda mereka. Majoriti pelajar lebih selesa bergaul dengan rakan daripada kaum yang sama dan semua bentuk interaksi seperti pengalaman peribadi, perbincangan agama, budaya dan hobi serta perkongsian rahsia lebih menjurus kepada rakan daripada kaum yang sama. Oleh itu, wujud jurang sosial yang tinggi dalam kalangan murid dan hasil kajiannya dapat membuktikan bahawa pembentukan ruang interaksi dalam kalangan murid lebih terarah kepada sesama etnik berbanding merentasi etnik. Peningkatan interaksi ini pula mengukuhkan persahabatan dalam kalangan murid daripada etnik yang sama. Pelajar-pelajar daripada agama lain menghormati pelajar-pelajar Islam ketika sesi bacaan doa dimulakan. Kebiasaan pelajar-pelajar bukan Islam akan bertafakur dan membaca doa mereka di dalam hati. Hal ini dapat memupuk nilai bertoleransi dan hormat menghormati dalam diri setiap pelajar walaupun berbeza kepercayaan dan pandangan dalam agama masing-masing. Tambahan pula, suasana harmoni dan aman dapat diwujudkan di dalam kelas tanpa ada sifat bias dalam agama.

Dari segi budaya penginteraksian antara guru dan murid, Menurut Suresh Kumar N Vellymalay (2016) yang memetik kata-kata daripada Murray & Murray (2004), Saft & Pianta (2001) dan Murray et al (2008), kekuatan hubungan antara guru dan murid bergantung pada kekuatan dan keperluan murid, tingkah laku dan pengalaman lepas murid dan guru serta pengaruh sosial dalam membolehkan murid menyesuaikan diri dalam persekitaran bilik darjah. Hubungan yang baik antara guru dan murid juga memberi kesan terhadap emosi, tingkah laku dan pencapaian akademik murid.

Akhir sekali, dari segi budaya belajar mengikut jantina, pelajar lelaki kurang memberi perhatian semasa proses PdPc sedang berlangsung berbanding pelajar perempuan. Ketika guru sedang menerangkan set induksi, pelajar lelaki sedang membuat kerja sendiri seperti berbual dan membuat doodle art manakala pelajar perempuan memberi fokus terhadap penerangan yang disampaikan oleh guru mereka. Dari segi perbincangan dalam kumpulan pula, pelajar perempuan lagi terserlah dalam perbincangan berbanding pelajar lelaki. Hal ini dapat dilihat melalui pemantauan setiap kumpulan, pelajar perempuan lebih berfokus dan bersungguh-sungguh dalam menyiapkan kerja manakala pelajar lelaki pula lebih berkonsepkan santai dalam menyiapkan kerja. Tambahan pula, pelajar perempuan lebih cenderung untuk bertanya sesuatu ketidakpastian berbanding pelajar lelaki. Pelajar lelaki hanya bertanya sekiranya guru itu datang memantau kumpulan mereka. Setiap individu mempunyai cara belajarnya tersendiri tapi dari segi perspektif jantina, trait personaliti dalam belajar hampir sama bagi lelaki dan perempuan. Menurut Nur Fadilah Abdul Basit, Isa Hamzah dan Harun Baharudin (2017), berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Politzer (1983), pelajar perempuan lebih banyak mengaplikasikan strategi pembelajaran sosial daripada pelajar lelaki dalam penggunaan strategi pembelajaran bahasa (SPB) yang membawa maksud pelajar perempuan lebih banyak berinteraksi di dalam kelas berbanding pelajar lelaki. Menurut Nur Fadilah Abdul Basit et al. (2017) juga, mengambil pendapat Cross (1983),

Perbezaan jantina dalam pencapaian bahasa sasaran mempunyai perkaitan dengan jantina guru bahasa yang bertindak sebagai “role model”. Kajian melibatkan para pelajar bahasa Perancis di Amerika di mana majoriti guru bahasanya adalah perempuan. Kesan interaksi antara jantina guru perempuan menjadi model ikutan positif untuk pelajar perempuan, tetapi tidak bagi pelajar lelaki. Hasilnya, pelajar perempuan lebih banyak menggunakan SPB kesan daripada interaksi jantina tersebut. (m/s 48)


TOPIK 9: PENGURUSAN PENASIHATAN MURID



Rumusan 
Topik 9: Pengurusan Penasihatan Murid

Topik Pengurusan Penasihatan Murid membincangkan tentang dengan memberikan tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu bimbingan, penasihatan dan juga kaunseling. Topik ini menerangkan tentang definisi dan konsep bimbingan, penasihatan dan mentoring. Selain itu, dapat mengenalpasti perbezaan antara bimbingan dan penasihatan dan juga kaunseling dan mengetahui empat prinsip dalam pengurusan penasihatan murid.

Secara ringkasnya pengurusan penasihatan murid mempunyai tiga komponen utama iaitu bimbingan lebih kepada proses untuk membantu individu meningkatkan pemahaman manakala penasihatan pula ialah ajaran atau petunjuk yang baik kepada seseorang. Seterusnya, kaunseling merupakan satu proses pembetulan diri untuk berkembang secara biasa dengan pertolongan pakar. Krumboltz (George & Kristianni, 1990), mengatakan kaunseling merangkumi aktiviti-aktiviti yang beretika yang dilakukan oleh kaunseling dalam usaha membantu klien.

Pusat bimbingan dan kaunseling adalah antara pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran pengurusan penasihatan murid. Pusat bimbingan dan kaunseling memainkan peranan dengan menganjurkan beberapa aktiviti dan program yang melibatkan penasihatan murid. Bukan itu sahaja, program mentor-mantee juga dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kaunseling dengan melibatkan semua guru dan murid supaya tiada murid yang tercicir akibat ketidakprihatinan sesetengah guru. 

Kesimpulannya, peranan penasihat adalah sangat penting kepada pengekalan pelajar dan kepuasan pelajar terhadap insititusi (Lowe & Toney, 2000) Selain itu, bimbingan, penasihatan, dan mentoring merupakan kaedah-kaedah yang boleh digunapakai untuk membantu pelajar-pelajar dalam aspek-aspek pembelajaran dalam kehidupan. Ketiga-tiga kaedah ini dikenalpasti sebagai satu strategi untuk membangunkan diri pelajar secara menyeluruh dan antara tujuan utama adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik serta memotivasikan pelajar.

TOPIK 8: PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN




Rumusan
Topik 8 : Pengurusan Tingkahlaku dan Disiplin
Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu. Tingkah laku juga merupakan semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur dan dinilai dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Pengurusan tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah kepada satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik yang sesuai.

Jenis-jenis tingkah laku

1.  Tingkah laku positif 
Tingkah laku positif merupakan tingkah laku yang baik untuk perkembangan mereka kerana dengan adanya tingkah laku ini mereka kan lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

2.  Tingkah laku negatif 
Tingkah laku negatif merupakan tingkah laku yang mampu memberikan masalah dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka ini kebiasaannya suka mengganggu rakan lain dan sering memberontak di dalam kelas.

Definisi disiplin menurut Abdullah Sani (2005) disiplin merupakan satu bentuk latihan untuk mengembangkan potensi individu daripada segi intelek, jasmani,rohani dan social supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia dan memberi manfaat kepada masyarakat. Disiplin adalah satu set peraturan yang telah ditetapkan kepada murid-murid bagi mengawal serta untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini. Disiplin ialah peraturan yang dipersutujui oleh kelompok masyarakat bagi mewujudkan tingkah laku yang baik demi kesempurnaan kehidupan masyarakat.Disiplin juga merujuk cara pemikiran yang mempengaruhi sifatrasional dan keyakinan diri.Menurut Charles (2002), disiplin di dalam bilik darjah yang baik memerlukan pengurusan bilik darjah yang sempurna supaya dapat mengurangkan gangguan dan memudahkan pembelajaran yang diikuti oleh pelajar.

Bentuk disiplin

1. Disiplin asas
 Melibatkan individu dalam masyarakat yang lebih besar.
 
• Mematuhi peraturan
- Peraturan yang telah ditetapkan oleh institusi-institusi bukan formal dan formal yang wujud dalam masyarakat demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan hidup seharian.

2.  Disiplin instrinsik/ Kendiri
 Atau kendiri adalah disiplin yang lahir daripada dalam individu. 

• Disiplin jenis  ini merangkumi sifat empati, mempunyai kesedaran sivik, moral,agama dan pergaulan
yang tinggi dalam masyarakat.

 Teknik Pengurusan Tingkah laku

1. Peneguhan
Merujuk kepada rangsangan dan gerak balas. Rangsangan ialah pencetus, manakala gerak balas ialah perlakuan hasil tindak balas dari pencetus. Dalam teori tingkah laku pelaziman operan Skinner ialah proses untuk meningkatkan atau menurunkan kadar satu-satu tingkah laku dengan cara menetapkan kesan pengukuhan atau hukuman bagi tingkah laku tersebut. Peneguhan positif menggalakkan peneguhan yang baik seperti memberi ganjaran setelah  perlakuan ditunjukkan .Peneguhan negatif adalah rangsangan yang tidak menyenangkan atau menyakitkan selepas sesuatu tingkah laku ditujukkan.

2.  Dendaan
Dendaan adalah proses mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini, individu berhenti melakukan tinglah laku kerana ia mendatangkan kesan yang tidak diingini. Tujuan dendaan adalah untuk menghentikan tingkah laku negatif dan ia membawa kesan dalam tempoh yang singkat sahaja.

3.  Reverse Psychology
Merupakan kaedah psikologi untuk memodifikasikan tingkah laku negatif kepada positif. Teknik ini memerlukan guru memahami psikologi murid serta mengenal pasti sikap, pandangan dan pemikiran dalamannya. Tujuannya untuk menginsafkan murid agar melepaskan sikap negatif dan memupuk sikap positif untuk membentuk tingkah laku yang diingini.

4.  Pengasingan
Teknik di mana murid disuruh keluar dari bilik darjah atau dimasukkan ke dalam kelas detensi untuk menjalani hukuman yang ditetapkan oleh guru. Dalam teknik ini guru tidak akan memberikan perhatian kepada tingkah laku bermasalah sehinggalah mereka berubah.

Kepentingan mengurus tingkah laku dan disiplin ialah dapat  melahirkan pelajar yang bersifat sanggup melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Seterusnya, dapat mewujudkan suasana tenang dan kondusif dalam bilik darjah supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan licin,berkesan dan ceria. Selain itu, hubungan antara pelajar dan guru dapat diperbaiki dan mewujudkan kemesraan di samping dapat menambah ilmu pengetahuan. Akhir sekali, dapat melatih pelajar dengan nilai murni seperti kepatuhan, tanggungjawab, kasih sayang, bekerjasama, hormat-menghormati dan sebagainya.

Kesimpulannya, tingkah laku bermasalah haruslah ditangani oleh guru dengan bijak dan teratur agar ia tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Melalui keberkesanan sistem pembelajaran yang berkesan akan mempercepatkan perkembangan pembelajaran murid di sekolah. Memodifikasikan tingklah laku ialah satu strategi penting yang boleh digunakan oleh guru yang mana tingkah laku yang dikehendaki diteguhkan melalui peneguhan positif dan tingkah laku yang tidak dikehendaki dihapuskan atau dikurangkan melalui peneguhan negatif.

Monday, 18 January 2021

TOPIK 7: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN



Rumusan
Topik 7: Startegi Pengurusan Bilik Pembelajaran

Strategi pengurusan bilik pembelajaran membincangkan berkaitan bagaimana guru menguruskan atau menjadikan sebuah bilik atau tempat belajar itu dengan baik supaya dapat mencapai objektif proses pengajaran dan pembelajaran itu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016) pengurusan bermaksud mengurus sesuatu atau mengurus keadaan manakala pembelajaran pula ialah sesuatu proses atau kegiatan belajar.

     Bilik pembelajaran boleh didefinisikan sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga merupakan tempat yang terpenting yang perlu ada di sekolah dan juga merupakan tempat dimana guru dan pelajar sama-sama berjuang untuk mencapai matlamat masing-masing. Bilik pembelajaran juga merupakan tempat dimana berlakunya interaksi antara guru dan murid. Pengurusan pula merupakan kerjasama yang dilakukan oleh sesebuah organisasi dalam usaha untuk mencapai suatu matlamat yang telah ditetapkan oleh orgabisasi tersebut. Manakala bagi strategi pengurusan bilik pembelajaran pula merupakan suatu proses yang memerlukan kerjasama antara guru dan murid bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mencapai objektif dan matlamat pada hari tersebut.

Persekitaran pembelajaran juga boleh mempengaruhi tingkah laku dan interaksi sosial antara pelajar. Persekitaran pembelajaran juga boleh dirancang dan diurus dengan baik bagi membolehkan pelajar belajar dengan selesa, mengumpul maklumat pembelajaran secara aktif, menimba pengalaman yang bersesuaian, menilai pembelajaran sendiri dan membuat maklum balas terhadap pengalaman peribadi dalam pelbagai konteks.

           Strategi  pengurusan bilik pembelajaran dapat dilihat berdasarkan kepada unsur fizikal bilik pembelajaran iaitu sistem penyimpanan rekod dan pengurusan bilik pembelajaran. 

Seterusnya, interaksi juga merupakan salah satu strategi pengurusan bilik darjah di sekolah.

1. Unsur fizikal bilik pembelajaran
Cara penyusunan bilik pembelajaran iaitu termasuk susunan meja dan kerusi, pengurusan rutin bilik dan penyimpan rekod bilik pembelajaran tersebut. Bilik pembelajaran yang selesa dan teratur akan mendatangkan suasana pembelajaran yang kondusif untuk murid-murid fokus dalam kelas. Hal ini demikian, membantu guru untuk mengajar pada hari itu tanpa ada apa-apa tingkah laku yang tidak menyenangkan daripada murid-murid. 

2. Interaksi
Satu proses yang saling bertindak yang berlaku diantara sekurang-kurangnya dua pihak. Istilah dua pihak bermaksud sama ada ia merupakan orang perseorangan ataupun sekumpulan manusia.

Interaksi terbahagi kepada empat iaitu
1. Interaksi sehala iaitu antara guru dengan pelajar
2. Interaksi dua hala antara guru dengan pelajar
3. Interaksi dua hala antara pelajar dengan pelajar
4. Interaksi pelbagai hala iaitu antara guru dengan pelajar, pelajar  dengan pelajar.

          Seterusnya, pengurusan iklim pembelajaran juga penting kerana ia akan mempengaruhi keadaan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Suasana pembelajaran yang positif akan menggalakkan murid-murid untuk terus menyertai pembelajaran pada hari tersebut. Iklim pembelajaran terbahagi kepada tiga iaitu suasana fizikal, sosial dan emosi. Persekitaran pembelajaran adalah penentu utama dalam pembelajaran pelajar. Hasil pembelajaran pelajar boleh dipertingkatkan dengan mencipta persekitaran yang bersesuaian dengan keperluan guru dan pelajar serta selari dengan aktiviti pembelajaran yang dijalankan.

               Kesimpulannya, untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang positif guru hendaklah mempunyai strategi yang berkesan. Hal ini demikain adalah untuk memastikan murid merasa seronok dan akan terus berada dalam kelas tersebut. Guru memainkan peranan yang penting sebagai ‘role model’ dalam pengurusan bilik darjah. Berjaya atau tidak murid menerima pembelajaran adalah bergantung kepada kekreatifan guru dalam menyampaikan pengajaran. Minat murid terhadap sesuatu pembelajaran berasaskan strategi mengurus bilik darjah yang terancang dan menarik.


TOPIK 6: PENGURUSAN PUSAT SUMBER

Rumusan
Topik 6:  Pengurusan Sumber

        Topik ini membincangkan mengenai pengurusan sumber yang dilakukan oleh pelajar dan juga guru. Sejajar dengan persekitaran sekolah yang kaya dengan pelbagai sumber pembelajaran, seseorang guru perlu menguasai kemahiran membuat keputusan yang bijak untuk memilih sumber pembelajaran yang sesuai dan seterusnya mengoptimumkan penggunaannya dalam bilik darjah. Seorang guru perlu menguasai kemahiran mengenalpasti semua sumber pengetahuan yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan kesan pengajarannya. Setiap sekolah akan dibekalkan dengan pelbagai sumber seperti bahan bercetak, kaset audio, pita video, perisian multimedia dan internet. Di samping itu, guru perlu mahir menggunakan bahan-bahan yang dikenal pasti itu dengan optimum untuk mencapai hasil pengajaran yang terbaik. 

 Pengurusan juga terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satuatau lebih entiti untuk tujuan menyelaras dan mengharmonikan kumpulan tersebut bagi mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancangkan (Buck, 2010). Abdul Aziz Yusof (2004, 2007) menyatakan bahawa pengurusan merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan. Antara fungsi pengurusan termasuklah proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber-sumber yang lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yan telah ditetapkan.Sumber pula merujuk kepada sesuatu bahan yang boleh digunakan serta dimanfaatkanoleh manusia dalam aktiviti ataupun kegiatan seharian. 

Terdapat beberapa jenis sumber atau alat bantu mengajar yang digunakan dalam membantu proses pembelajaran guru. Antara sumber yang digunakan ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan juga bahan maujud. Walaupun jenis- jenis ini mempunyai ciri yang berbeza, namun ianya boleh digunakan bagi memastikan murid- murid memahami akan isi kandungan pelajaran serta mencapai objektifnya.

    Sumber bahan bercetak didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Selain itu, bahan ini boleh disentuh dan dibaca secara terus dan ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan bukan daripada tulisan tangan. Sumber bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, esiklopedia, surat khabar, buku teks dan sebagainya.

Selain daripada itu, bahan teknologi maklumat juga salah satu sumber yang digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ramai murid yang menyukainya. Jika sumber ini digunakan secara berkesan, alat bantu mengajar ini dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. . Antara kelebihan bahan ini ialah murid-murid akan lebih mudah untuk memahami apa yang diajar oleh guru dan dapat mengekalkan minat pelajar untuk pelajaran seterusnya sekaligus dapat meningkatkan prestasi akademik mereka.

Bahan maujud juga sering digunakan sebagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahan maujud merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuhdan dipegang. Selain daripada itu juga, bahan ini merupakan bahan yang nyata yang adadisekeliling kita sama ada dalam keadaan hidup atau sudah diawet. Contoh bahan ini ialahkomputer, perkakas sains, alat tulis, bangunan dan sebagainya.

      Pembelajaran berasaskan sumber berhasrat untuk melibatkan semua pelajar belajar secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut. Hal ini bermaksud, pelajar memainkan peranan penting semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Guru hanya bertindak sebagai pemerhati serta menjadi fasilitator kepada pelajar. Selain itu, peranan guru juga adalah mencari sumber yang sesuai untuk digunakan oleh pelajar manakala pelajar  bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti berasaskan sumber tersebut. Sebagai contoh,sumber yang digunakan oleh guru untuk menjalankan aktiviti adalah sumber yang berasaskan komputer. Di sini, guru akan menyuruh pelajar mencari maklumat yang terdapat dalam computer untuk menjalankan aktiviti kumpulan.

     Pembelajaran berasaskan sumber amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tanpa sumber, ilmu pengetahuan pelajar tidak akan berkembang disebabkan pelajar tersebut hanya berfokus kepada guru sahaja.  Pentingnya sumber dalam pembelajaran ialah dapat membantu guru untuk menyampaikan ilmu agar lebih difahami oleh pelajar. Contohnya, guru yang hanya mengajar berasakan kepada teori saja tidak dapat memberi kefahaman yang maksimum kepada pelajar tanpa praktikal ataugambaran yang jelas bagi menerangkan mengenai sesuatu situasi tersebut. Oleh sebab itu, guru boleh menggunakan bahan seperti foto-foto yang berkaitan, slaid dan video untuk dilihat oleh pelajar bagi menambahkan kefahaman mereka.Sumber juga penting dalam pembelajaran pelajar agar pelajar tersebut tidak merasa bosan ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung. 

 Fungsi dan peranan pusat sumber.
   Pusat sumber berkembang pesat dari waktu ke waktu dengan pelbagai fungsi dan peranan mengikut kesesuaian perkembangan pola kehidupan masyarakat, keperluan dan teknologi maklumat. Dari segi teknologi maklumat, pusatsumber juga berkembang daripada pusat sumber tradisional, semi tradisional, elektronik, digitals ehinggakan pusat sumber virtual dan perkembangan ini sejajar dengan fungsi dan peranannya.

1.  Pusat kegiatan belajar dan mengajar.
Fungsi utama pusat sumber adalah sebagai tempat rujukan utama bagi kegiatan belajar dan mengajar. Para guru dan pelajar akan sentiasa membuat rujukan dan mencari bahan daripada perpustakaan. Para guru akan mencari bahan yang bersesuaian bagi membuat persediaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Para murid boleh mencari rujukan untuk menambah baik latihan dan untuk menambah bahan ulang kaji mereka. Selain itu, murid-murid boleh mencari bacaan hiburan seperti novel atau buku-buku cerita kanak-kanak untuk menambah minat membaca dalam diri masing-masing.

2.  Mengisi masa lapang.
Seterusnya, fungsi dan peranan pusat sumber juga berperanan sebagai tempat untuk mengisi masa lapang dengan melakukan perkara yang berfaedah. Hal ini demikian kerana, dengan adanya pusat sumber, mereka terutamanya pelajar yang mempunyai masa yang terluang akan mempunyai tempat bagi mengisi masa mereka. Mereka tidak akan membazirkan masa di tempat yang tidak berfaedah seperti di pusat membeli-belah, kedai makan atau di tempat-tempat yang terbuka seperti taman permainan dan taman rekreasi. Apabila mereka datang ke pusat sumber bersama kawan, mereka bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan baik tetapi dapat menambah maklumat melalui pembacaan pelbagai bahan rujukan ilmiah yang telah disediakan.

3.  Pusat perkembangan idea dan kreativiti.
Pusat sumber juga menjadi pusat bagi perkembangan idea dan kreativiti. Hal ini demikian kerana pusat sumber sekolah bukan sahaja berperanan sebagai pusat ilmu, tetapi turut berupaya membekalkan kemudahan dan perkhidmatan bagi guru-guru yang kritis dan inovatif. Pusat sumber yang aktif bukan sahaja menyediakan bahan-bahan bacaan semata-mata tetapi turut menganjurkan pelbagai aktiviti yang berterusan bagi mengembangkan daya pemikiran, kreativiti dan imaginasi para pelajar dan guru. Sebagai contoh, guru atau pihak pusat sumber boleh menganjurkan pelbagai pertandingan seperti pertandingan bercerita ataupun anugerah NILAM. 

4.  Pusat profesional
Pusat sumber sekolah juga berperanan sebagai pusat profesional. Pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pusat sumber akan meningkatkan iktisas keguruan daripada aspek kerja berkumpulan dan usaha-usaha meningkatkan prestasi serta kemajuan pendidikan di sesebuah sekolah. Rancangan- rancangan perkembangan staf dan latihan dalaman boleh dijalankan melalui perkhidmatan yang disediakan oleh pusat sumber sekolah.
 
Sebagai kesimpulannya, penggunaan sumber dalam bidang pendidikan mampu meningkatkan kepahaman pelajar terhadap pengajaran yang telah diajar kepada mereka. Selain itu juga, guru-guru dapat menyampaikan sesuatu pengajaran yang lebih berkesan lagi berpandukan kepada sumber sebagai rujukan dalam membuat persedian mengajar. Sumber manusia merupakan aset terpenting dalam sesebuah organisasi di sekolah. Dalam era globalisasi, persoalan daya saing dan daya tahan sesebuah organisasi menjadi fokus masa kini. Sesungguhnya pengurusan sumber manusia berupaya memastikan kelestarian sesebuah organisasi itu.